20 November 2011

INFO KESIHATAN - SUMBING

BIBIR SUMBING DAN LELANGIT TERBELAH

Semasa di Jabatan Pembedahan Plastik di HKL, Cleft Lip atau Cleft Palate (Kesumbingan Bibir dan Lelangit) ini merupakan masalah kecacatan sejak lahir yang paling popular di sini. Semenjak lahir sehingga pesakit dewasa, rawatan susulan demi susulan diberikan. Bibir sumbing atau lelangit terbelah berlaku disebabkan otot bibir atau otot lelangit tidak bercantum pada tempat yang sepatutnya ketika proses janin berkembang. Faktor-faktor yang menyebabkan termasuk keturunan, mengambil ubat yang tertentu ketika mengandung, jangkitan, radiasi dan sebagainya.

Kepercayaan karut orang melayu bahawa bibir sumbing disebabkan kerana mulut ikan tersangkut pada mata kail yang dipancing ketika isteri sedang mengandung adalah sesuatu yang salah. Malah, ada juga yang menyalahkan ibu yang melahirkan.

"Tu lah kau, masa mengandung kau menyiang ikan.. tak hati-hati... kan anak kau dah cacat"...

Kesian kat ibunya. Sudahlah dapat anak cacat. Dituduh pula penyebab kecacatan anaknya. Mana ibu yang nakkan anaknya menjadi cacat. Sepatutnya kita memberi sokongan moral kepada ibu yang mendapat anak yang seperti ini. Lagipun penyakit ini boleh dirawat dengan pembedahan oleh pakar-pakar bedah plastik.


Sumbing - Aspirin adalah antara penyebabnya

PETALING JAYA: Pengambilan ubat mengandungi aspirin oleh wanita mengandung boleh menyebabkan risiko melahirkan bayi yang sumbing iaitu mengalami rekah mulut dan lelangit tinggi.

Selain itu, faktor utama yang menyebabkan kecacatan berkenaan ialah pengambilan alkohol dan rokok ketika kandungan berusia lapan minggu.

Ketua Jabatan Pembedahan Mulut dan Maksilofasial Universiti Malaya, Prof Dr Zainal Ariff Abdul Rahman, berkata kecacatan itu berlaku apabila bahagian yang membentuk bibir dalam janin tidak bercantum.

“Berdasarkan kajian, 65 peratus bayi yang mengalami rekah mulut dan lelangit disebabkan oleh faktor persekitaran dan pemakanan, selebihnya oleh faktor genetik.

“Bagaimanapun, kecacatan ini boleh dirawat menerusi pembedahan bagi membolehkan pesakit hidup normal,” katanya kepada Berita Harian, di sini.

Dr Zainal berkata, rekod menunjukkan satu kes rekah bibir dan lelangit dilaporkan bagi setiap 600 kelahiran bayi hidup di negara ini.

Katanya, Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) berjaya memulihkan seramai 100 pesakit rekah bibir dan lelangit dari peringkat bayi sehingga 40 tahun sejak 1995.

“Kami berjaya menjalankan pembedahan terhadap 100 pesakit termasuk 20 bayi sumbing yang kini sudah kembali normal seperti orang lain.

“Bagaimanapun, ada yang menjalankan pembedahan kecil berulang kali bagi mendapatkan hasil yang lebih sempurna termasuk hidung, menghilangkan parut dan tanam gigi,” katanya.

Sehubungan itu, Dr Zainal berkata, ada empat peringkat pembedahan yang dijalankan terhadap pesakit bermula dari peringkat bayi.

Katanya, pembedahan awal biasanya dijalankan ketika bayi berusia tiga bulan bagi memastikan pesakit tidak menghadapi penyakit lain sehingga mengganggu operasi pembedahan.

“Pembedahan penutupan bibir juga boleh dilakukan pada bayi yang baru lahir. Ini kerana kesan parut adalah lebih kecil jika pembedahan dilakukan pada peringkat awal,” katanya.

Beliau berkata, ia diikuti dengan pembedahan lelangit ketika berusia antara 10 hingga 18 bulan bagi memastikan pesakit boleh bertutur dengan normal.

“Hospital juga akan menjalankan pembedahan percantuman gusi ketika mereka berusia antara sembilan hingga 11 tahun. Peringkat terakhir ialah pembedahan ortognatik bagi membetulkan ketidakseimbangan pada rahang atas dan bawah pesakit yang berusia 18 tahun ke atas,” katanya.

Dalam pada itu, Dr Zainal berkata, kos keseluruhan pembedahan adalah antara RM3,000 hingga RM5,000.

No comments:

Post a Comment