Showing posts with label Info Baby. Show all posts
Showing posts with label Info Baby. Show all posts

05 July 2011

KHASIAT SUSU IBU



Risiko kematian bayi dan kanak-kanak kecil di negara membangun meningkat 10 hingga 15 kali bagi mereka yang tidak menyusu badan pada usia tiga bulan pertama. Kebanyakan kematian berpunca penyakit cirit-birit yang serius.

Kajian pula menunjukkan 40,000 kanak-kanak meninggal dunia setiap hari (28 orang setiap satu minit) di negara-negara membangun. Mereka adalah mangsa kekurangan zat makanan.

Untuk itu United Nations International Childrens Fund (UNICEF) telah mengenal pasti tujuh cara berkesan menyelamatkan jutaan nyawa kanak-kanak. Salah satu caranya adalah meningkatkan kadar penyusuan susu ibu di kalangan ibu-ibu.

Meskipun angka kematian begitu tinggi di negara-negara membangun dan mundur ini tidak bererti negara maju terkecuali. Di Amerika dan barat Eropah banyak kes Sudden Death Of Unknown Cause (SIDS) atau Cot Death dilaporkan berlaku. Dan kajian menunjukkan kebanyakan mereka yang meninggal akibat ini terdiri daripada kanak-kanak menvusu botol.

Oleh demikian kempen penyusuan ibu amat digalakkan di negara mundur sebagai pilihan untuk tidak menyusu botol kerana sistem bekalan air di negara tersebut tidak bersih. Walaupun penyusuan botol di negara kita selamat dan terjamin, penyusuan ibu tetap yang terbaik.


Khasiat dan kebaikan susu ibu

Susu ibu merupakan makanan dan minuman terbaik untuk bayi terutamanya sejak lahir hingga bayi berusia enam bulan. Ia mengandungi semua khasiat dalam imbangan yang betul. Sebaik selepas melahirkan, susu pertama kental berwarna kekuningan. Susu ini dinamakan kolostrum. Khasiatnya amat tinggi. Kandungan proteinnya tiga kali ganda melebihi susu ibu biasa. Ia mengandungi antibodi yang tinggi serta lebih sel darah putih.

Kolostrum mampu melawan jangkitan pelbagai penyakit seperti cirit- birit, selesema dan radang paru-paru. Malah ia bertindak sebagai imunisasi pertama. Ibu-ibu digalakkan kerap menyusui ibu pada hari-hari pertama kelahiran bagi membekalkan kolostrum secukupnya pada bayi. Sesetengah ibu tidak mahu memberikan susu mereka pada bayi pada waktu ini kerana menurut mereka susu belum ada. Kekeliruan ini merugikan kerana bayi seharus mendapat kolostrum sebanvak mungkin.

Teknologi moden cuba meniru merumus susu formula agar menyamai susu ibu. Namun sehingga kini khasiat dan kebaikan yang terkandung di dalam susu ibu tidak dapat disamai apalagi untuk ditandingi. Antara kebaikan susu ibu adalah ia mengandungi zat makanan dalam nisbah yang betul dan isi kandungannya berubah mengikut keperluan bayi membesar. Komposisi zat dan vitaminnya sesuai dan mencukupi untuk bayi. Ia mengandungi enzim lipase yang menghadamkan lemak.

Susu ibu bersih dan bebas bakteria. Selain itu ia mengandungi anti jangkitan yang melawan pelbagai jangkitan penyakit. Antaranya sel darah putih hidup (leucocytes) yang membunuh bakteria. Antibodi (immunoglobulins) mampu menentang jangkitan penyakit biasa sehinggalah bayi berupaya membentuk antibodinya sendiri. Sekiranya si ibu mempunyai jangkitan, antibodi yang dapat melawan jangkitan tersebut akan hadir di dalam susu ibu.

Kita kerap melihat bayi kecil menangis tanpa henti berjam-jam lamanya. Besar kemungkinan perutnya kembung. Sekiranya bayi menyusui ibu sepenuhnya pada usia tiga bulan, masalah ini dapat diatasi. Ini kerana terdapat bahan dinamakan bifudus factor membantu bakteria istimewa Lactobasillus bifidus membiak dan menentang bakteria yang menyebabkan diare atau cirit-birit. Selain diare, susu ibu berjaya menentang jangkitan penyakit biasa seperti enzema, lelah dan sembelit.

Susu ibu menguntungkan wanita

Perkara paling ditakuti wanita selepas bersalin adalah mengembalikan bentuk badan asal. Banyak mengeluh badan mereka susah turun terutama bahagian perut dan punggung. Ini berita baik. Dengan menyusu bayi dengan susu badan anda boleh melangsingkan badan dibantu dengan sedikit senaman.

Semua tahu, sewaktu mengandung rahim mengembang dan selepas melahirkan anak ia mengambil masa untuk kembali ke saiz asalnya. Dengan menyusui bayi, sejenis hormon dipanggil Oxytocin yang dirangsangkan melalui hisapan bayi membantu rahim mengecut lebih cepat. Ia juga mengurangkan risiko pendarahan berlebihan dan risiko mendapat kanser buah dada juga ovari.

Penyusuan ibu dengan sepenuhnya selama enam bulan pertama mampu menunda kedatangan haid. Andai berhubungan dengan suami ketika itu 98 peratus kehamilan dapat dielakkan. Secara tidak langsung menyusu badan menjadi salah satu kaedah berkesan merancang keluarga.

Selain kebaikan daripada segi fizikal dan kesihatan, penyusuan badan menawarkan kebaikan lain yang lebih istimewa. Naluri keibuan lebih menyerlah, ikatan kasih antara anak dan ibu terjalin. Di dalam proses menyusui, sejenis hormon dipanggil prolaktin terhasil dalam badan ibu. Hormon ini dapat mempengaruhi dan merangsangkan perasaan keibuan.

Sewaktu menyusu juga bau ibu, sentuhan dan wajah akan terakam pada ingatan bayi yang masih kecil itu. Proses penyusuan membantu bayi lebih mengenali ibu dan paling penting mereka dapat merasakan kehangatan kasih si ibu. Anak akan lebih mesra dan kasih sayang mereka lebih mendalam pada ibu.

Kalau kita melihat si ibu terpaksa bersusah payah menyediakan peralatan membancuh susu ketika berjalan, ibu yang menyusu badan hanya perlu membawa diri mereka sahaja. Mereka juga tidak perlu bimbang kehabisan air untuk membancuh susu andai terperangkap di dalam kesesakan jalan raya. Susu badan sedia ada, bersih dan terjamin selamat. Susu badan dapat menjimatkan kos belanja, masa dan tenaga.

Tanggapan banyak buah dada jatuh atau melendur kerana menyusu badan juga kurang tepat. Bentuk buah dada berubah semasa hamil dan mungkin mereka tidak bercoli, diikuti tarikan graviti ataupun usia semakin lanjut. Untuk itu pastikan ibu-ibu memakai coli sesuai sepanjang tempoh kehamilan dan sewaktu menyusui bayi

Berikut adalah posisi penyusuan bagi ibu yang baru pertama kali melahirkan anak,

~ END ~

Susu ibu menyelamatkan nyawa

7 SEBAB BAYI MENANGIS DAN BAGAIMANA MENENANGKAN MEREKA

Apakah sebabnya bayi menangis?

Semua bayi menangis pada masa-masanya. Mereka perlu menangis. Bayi baru lahir yang sihat pun akan menangis juga sebanyak satu hingga tiga jam sehari. Disebabkan mereka tak dapat membuat sebarang apapun untuk diri sendiri, bayi bergantung kepada orang lain untuk memberi mereka makanan, kepanasan dan keselesaan yang mereka perlukan. Tangisan adalah cara bayi memberitahu salah satu daripada keperluan itu.

Sebagai ibu atau bapa baru, ada masanya anda mendapati sukar untuk menentukan apakah yang diperlukan bayi - adakah dia lapar, sejuk, haus, bosan atau mahu dipeluk? Di hari-hari awal, apabila anda belum lagi tahu bagainama untuk menentukan keperluan bayi anda, tangisan ini boleh membuat anda rasa bimbang. Namun begitu, lambat laun anda akan mula mengecam gaya tangisan bayi anda yang berlainan dan, setelah anda lebih mengenalinya, akan dapat mendahului keperluannya.

Semasa membesar, bayi juga akan mempelajari lain-lain cara untuk berkomunikasi dengan kita. Mereka menjadi lebih cekap menyatakan sesuatu dengan menggunakan mata, membuat bunyi-bunyian, dan juga dengan senyuman, semuanya mengurangkan keperluan untuk menangis. Sebab-sebab biasa bayi menangis disenaraikan di bawah. Jika anda mempunyai bayi yang susah untuk ditenangkan, cubalah panduan ini satu persatu. Dengan cara ini, anda akan terasa senang hati sebab anda telahpun cuba memenuhi keperluan dia seberapa banyak yang boleh.

1. Saya perlukan makanan
Kelaparan adalah sebab utama bayi baru menangis. Lebih muda bayi itu, lebih kemungkinan dia menangis sebab dia lapar. Pengecualian kepada ini ialah pada masa sehari dua selepas kelahiran, apabila bayi makan amat sedikit. Jika anda mengamalkan penyusuan badan, anda mungkin sedar akan perkara ini, sebab susu terawal kolostrum yang sangat pekat dikeluarkan dalam jumlah yang sedikit dan anda juga sedar bahawa susu "mula datang" sekitar hari ketiga. Perut bayi yang kecil tidak dapat menyimpan begitu banyak, jadi, jika bayi anda menangis, cuba berikan dia susu, sebab besar kemungkinannya dia lapar. Dia tidak akan berhenti menangis dengan serta merta, tetapi teruskan penyusuan jika dia mahu, dan dia akan mula bertenang apabila perutnya terisi. Walau bagaimanapun, jika bayi anda sudah disusukan dan dia masih menangis, mungkin dia menyatakan keperluan seterusnya.

2. Saya perlukan keselesaan
Bayi sudah tentu akan membantah jika baju mereka terlalu ketat atau jika lampin kotor mengganggu mereka. Setengah bayi tidak membantah jika lampin mereka penuh - ia cuma terasa panas dan selesa bagi mereka - manakala yang lain akan menjerit dan minta ditukarkan dengan serta merta, terutama sekali jika kulit mereka terasa jengkel. Memeriksa lampin bayi dan menukarkannya mungkin akan memenuhi keperluan dia, jadi memang elok mencuba. Ia juga memberi peluang untuk anda memeriksa yang lampinnya tidak terlalu ketat atau tiada perkara lain bersabit pakaiannya yang membuatkan dia tidak selesa.

3. Saya perlu nyaman dan selesa - tidak terlalu panas atau sejuk
Setengah bayi baru lahir tidak suka ditukarkan lampin atau dimandikan - mereka tidak biasa merasakan udara menyentuh kulit mereka dan lebih suka dibalut panas. Jika bayi anda seperti ini, anda akan cepat tahu bagaimana hendak menukarkan lampin dengan segera supaya bayi anda boleh bertenang semula. Namun begitu, berhati-hatilah supaya tidak memakaikan terlalu banyak lapis baju, sehingga dia akan terlalu panas. Satu petua ialah dengan mengingatkan yang dia memerlukan satu lapis pakaian lebih daripada anda untuk selesa.

Jika dia berada di kot atau raga pembawanya, cuba gunakan cadar atau selimut berlubang-lubang sebagai kain penutup bukan duvet untuk membolehkan anda menambah atau membuangkan satu lapisan apabila perlu. Anda boleh memeriksa samada bayi anda terlalu panas atau sejuk dengan merasa perutnya: jika dia terasa terlalu panas, buangkan satu lapisan selimut, jika dia sejuk, tambah satu. Jangan berpandu kepada suhu tangan atau kakinya, sebab adalah normal bagi kaki dan tangan terasa agak sejuk. Memang mudah untuk membeli termometer di Malaysia (kebanyakan farmasi menjualnya) dan anda boleh menggunakannya untuk mengambil suhu badan bayi anda jika kurang pasti. Kekalkan suhu di bilik bayi anda pada 24 darjah C / 75.2 darjah F, dan letakkan dia menelentang dengan kaki di hujung kot supaya dia tak boleh turun bergeliang geliut sehingga tenggelam di bawah selimut dan menjadi terlalu panas.

4. Saya perlu dipeluk
Setengah bayi sangat perlu dipeluk dan dimanjakan. Bayi yang lebih tua akan menjadi tenang jika dia boleh nampak anda dan mendengar suara anda dalam bilik, tetapi, bayi baru lebih memerlukan sentuhan fizikal untuk menjadi selesa. Jika anda telah memberi bayi makan dan menukar lampinnya, anda akan dapati bahawa sekarang dia hanya mahu dipeluk. Setengah ibu dan bapa bimbang bayi mereka akan menjadi terlalu manja jika dia didukung berlebihan, tetapi semasa bulan-bulan pertama kehidupannya, perkara ini tidak mungkin. Separuh bayi tidak perlu terlalu banyak sentuhan fizikal, manakala yang lain mahu dipeluk hampir sepanjang masa. Jika bayi anda perlu banyak didukung, anda mungkin mahu mencuba gendongan bayi, yang membenarkan bayi anda rapat dengan anda dan membebaskan tangan anda untuk menjalankan kerja lain; ini mungkin penyelesaian yang akan membuat anda berdua bahagia.

5. Saya perlukan rehat
Memang senang untuk menyangkakan yang bayi akan tertidur apabila mereka terasa nak tidur, di manapun mereka berada, sebab kebanyakan bayi berbuat demikian. Tetapi, jika bayi anda telah mendapat terlalu banyak perhatian - mungkin hari itu sibuk dan ramai pelawat datang ke rumah - dia mungkin terlalu terangsang dan mendapati sukar untuk "tutup suis" dan bertenang. Bayi baru lahir mendapati sukar untuk mengurus rangsangan yang terlalu banyak pada satu-satu masa - cahaya lampu, bunyi bising, di hulurkan dari seorang saudara tersayang kepada yang lain - hingga boleh menjadi gelisah. Ramai ibubapa mendapati bayi menangis lebih dari biasa apabila suadara mara datang melawat, atau apabila petang menjelma. Jika tidak ternampak sebab spesifik bayi anda menangis, dia mungkin cuba memberitahu anda, "Saya dah tak tahan lagi". Jika anda bawa dia ke tempat yang tenang dan senyap, kurangkan ransangan secara perlahan, dia mungkin akan mengeskspresikan perasaannya dengan menangis sekejap sebelum betenang dan terus dapat tidur.

6. Saya perlukan sesuatu untuk membuat saya rasa lebih sejahtera
Jika anda telahpun memberi bayi makan dan memastikan dia selesa, tetapi dia masih terus menangis, anda mungkin tertanya-tanya samada dia sakit atau mengalami kesakitan. Mereka, ibubapa buat pertama kali, sering mendapati sukar untuk mengetahui samada bayi menangis sebab dia sebenarnya seorang yang bersifat sedih (separuh bayi begitu, dan mereka mengambil masa yang panjang untuk menyesuaikan diri untuk hidup di dunia) atau samada memang ada sesuatu yang tak kena. Bayi yang sakit lazimnya menangis dengan suara yang berlainan daripada tangisan biasa - ianya mungkin berbunyi cemas atau nyaring. Begitu juga dengan bayi yang sering menangis; sekiranya dia mula berdiam ini mungkin petanda yang dia kurang sihat. Yang paling penting untuk diingati ialah tiada siapa yang mengenali bayi anda seperti anda sendiri. Jika anda rasakan mungkin ada masalah tertentu, hubungilah ahli pediatrik atau doktor keluarga anda. Ahli kesihatan profesional lazimnya akan mempertimbangkan kebimbangan anda secara serius, dan anda akan merasa lebih tenang jika diberitahu tiada sebab fizikal bayi anda menangis. Anda mestilah memanggil doktor jika bayi anda mengalami kesesakan nafas apabila dia menangis, atau jika tangisan diikuti dengan: Lihat artikel kami tentang bila harus memanggil doktor untuk panduan lanjut.

7. Saya perlukan sesuatu ... tetapi saya tak tahu apa yang saya mahu
Kadangkala anda mungkin tidak dapat menduga apakah masalahnya apabila bayi anda menangis. Ramai bayi baru lahir melalui masa-masa bilamana dia meragam dan tidak senang untuk dipujuk. Ketidak gembiraan boleh berbeza antara tangisan yang berlanjutan beberapa minit dan tidak boleh dipujuk kepada tangisan beberapa jam pada satu-satu masa, tangisan yang tak berhenti-henti yang kadangkala dikenali sebagai kembung kolik. Kolik didefinisikan sebagai tangisan yang tidak dapat ditenangkan yang berlalu selama sekurang-kurangnya tiga jam sehari, tidak kurang dari tiga hari dalam seminggu. Ramai ibubapa mendapati sukar untuk menguruskan bayi yang menghidap kolik, dan keadaan itu boleh menyebabkan ketegangan bagi seluruh keluarga. Tiada rawatan ajaib bagi kolik, tetapi keadaan itu tidak akan berlanjutan lebih dari tempoh tiga bulan. Jika anda sentiasa boleh mengingatkan bahawa keadaan bayi anda itu akan pulih apabila dia membesar, itu mungkin membantu.

Anak saya sedang menangis - apa harus saya lakukan?

Ada beberapa perkara yang anda boleh lakukan untuk cuba menenangkan bayi yang menangis. Tidak semuanya berkesan untuk semua bayi, jadi anda perlu memahami bayi anda sedikit demi sedikit untuk mengetahui apa yang sesuai baginya dan bagi anda.

Selimutkan dia dan peluk dengan rapi
Bayi baru lahir menunjukkan kegemaran untuk rasa rapat dan selamat, sama seperti masa di dalam rahim, jadi anda mungkin mahu cuba membedungkan bayi anda dengan selimut dan memerhatikan samada dia suka dibedung. Ramai ibu dan bapa juga mendapati bahawa memeluk bayi rapat, terutama sekali apabila bayi boleh mendengar denyutan jantung ibubapa, atau meletakkan bayi dalam gendongan menyamankan. Bayi lain mendapati bedung terlalu menyekat dan lebih sukakan lain cara untuk ditenteramkan seperti dibuai atau dinyanyikan.

Dapatkan ritma yang teratur
Dalam rahim, bayi anda boleh kedengaran denyutan jantung anda: itu satu sebab bayi masih suka dipeluk rapi. Walau bagaimanapun, lain bunyi yang teratur dan berulang boleh juga mendatangkan kesan tenteram. Anda boleh cuba memainkan muzik yang lembut atau menyanyi senandung buaian. Ramai ibubapa mendapati yang bayi mereka boleh mendengar ritma mesin basuh kain yang teratur atau bunyi bercorak 'hingar putih' yang dihasilkan oleh pembersih vakum atau pengering rambut, yang akan menidurkan dia dalam sedikit masa. (Jangan sekali-kali meletakkan bayi anda di atas mesin basuh atau pengering kain - bila-bila masapun, letakkan dia atas lantai berdekatan dengan mesin itu.)

Buai-buaikan bayi
Kebanyakan bayi suka dibuai perlahan, dan anda akan mendapati bahawa bayi anda akan bertenang akibatnya, samada anda berjalan-jalan sambil menghayunkan dia atau duduk dengannya atas kerusi goyang. Buaian khas bayi boleh menenangkan setengah bayi, tetapi bayi lain lebih selesa dengan keadaan yang lebih pantas dan akan tidur sebaik saja mereka dibawa berjalan dalam kereta.

Cubakan urutan
Memberi bayi anda urutan atau menggosok belakang atau perutnya dengan perlahan boleh membantu menenangkan dia. Jika dia ternampak seakan-akan kesakitan disebabkan angin, cuba menyusukan dia dalam posisi tegak dan menepuk dia selepas penyusuan dengan menyandarkan dia di bahu anda. Bayi yang menghidap kolik kadangkala terasa reda jika perut mereka digosok, dan anda pun akan berpuas hati sebab sekurang-kurangnya telah mencuba membantu bayi yang cemas.

Biarkan dia menghisap sesuatu
Bagi setengah bayi baru lahir, dorongan untuk menghisap amat kuat dan menghisap puting atau jari (yang bersih) atau ibu jari boleh mendatangkan ketenangan yang banyak. "Hisapan penyelesa" boleh mengaturkan kadar denyutan jantung bayi, merelakskan perutnya dan membantu dia bertenang.

Jangan menaruh harapan yang terlalu tinggi terhadap diri anda
Bayi yang menangis tidak berhenti-henti tidak akan memudaratkan dirinya dalam jangka masa panjang, tetapi mungkin menyebabkan banyak stres dan kebimbangan bagi ibubapanya. Jika bayi anda kelihatan tidak gembira berada di sini dan menolak sebarang usaha anda untuk menceriakan dia atau menenangkan dia, ini akan menyebabkan anda merasa tidak disayangi selain kecewa. Ibubapa sering menyalahkan diri sendiri, merasakan yang ketidakcekapan mereka sebagai ibibapalah yang menyebabkan tangisan itu, tetapi ini bukan hakikatnya. Jika anda sudah pasti keperluan bayi anda telah dipenuhi, dan tiada perkara fizikal yang menyebabkan bayi anda menangis, dan jika anda telah mencuba segalanya untuk menenangkannya tetapi tiada yang berhasil, sudah tiba masanya bagi anda menjaga diri sendiri supaya anda tidak terasa tertewas. Di sini diberikan beberapa cadangan:

• Tarik nafas panjang.

• Letakkan bayi anda di satu tempat buat sementara dan biarkan dia menangis untuk seketika tanpa didengari oleh anda.

• Jika membantu, mainkan muzik yang nyaman dan relakslah sendiri untuk 10 minit.

• Panggil kawan atau saudara untuk mendapatkan sokongan. Berehatlah buat sementara dan biarlah orang lain menjaga bayi anda untuk sekejap.

• Berbincanglah dengan doktor dan kumpulan sokongan dan kumpulan ibu-dan-bayi di mana anda boleh berkongsi pengalaman dan berbincang dengan lain-lain ibu dan bapa cara menangani tangisan itu.

• Ingatkan diri anda bahawa bayi anda tiada mempunyai sebarang masalah dan tangisan itu tidak akan mencederakan dia. Kadangkala cuma dengan menerima kenyataan yang anda mempunyai bayi yang banyak menangis akan membantu, sebab anda tidak akan membuat diri anda letih dengan mencari-cari sebab-sebab tangisan itu, menyalahkan diri anda, atau melakukan pelbagai rawatan yang tidak berkesan.

• Ingatkan diri anda bahawa ini fasa sementara dan akan berlalu.

Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir merupakan tugas yang berat. Menjadi ibu atau bapa bayi baru lahir yang banyak menangis adalah tugas yang lebih berat lagi. Dapatkan bantuan dan sokongan apabila anda memerlukannya, jangan menunggu sampai masalah itu menjadi teruk. Dan bertenanglah dengan mengingatkan bahawa setiap hari, apabila bayi semakin membesar, dia akan mempelajari cara-cara baru untuk mengkomunikasikan keperluan dia kepada anda. Dengan perlahan, apabila dia mula berbuat demikian, tangisan itu akan berhenti.

21 June 2011

Tanda - Tanda Bayi Anda Kembung Perut

Apa itu Kembung Perut?



 - biasanya dikaitkan dengan bayi yang menangis disebabkan oleh sakit perut.
Diagnosa ditentukan berdasarkan ciri-ciri berikut:
  • Bayi menangis berterusan atau kerap menangis buat masa yang lama tanpa sebab-sebab yang jelas.
  • Masalah ini berlarutan selama 2-4 jam sehari untuk sekurang-kurangnya 5 hari seminggu dan selalunya bermula pada umur bayi 2-3 minggu dan beransur kurang/pulih apabila bayi mencapai umur 3-4 bulan.
Mengapakah sesetengah bayi mengalami kembung perut?
Sebab tidak diketahui. Beberapa teori termasuk :
  1. Usus :
    • Alah kepada protein susu lembu.
    • Alah kepada laktosa.
    • Usus belum matang. Pencernaan karbohidrat yang tidak sempurna akan menyebabkan kembung dengan "angin" yang berlebihan.
    • Ketidakselesaan disebabkan "angin".
  1. Biologi :
    • Cara menyusu : kurang atau lebih menyusu dan kurang sendawakan bayi.
    • Terdedah kepada asap rokok. Ibu yang merokok sewaktu mengandung atau di dalam pantang akan menyebabkan bayi berisiko tinggi untuk kembung perut
  1. Psikososial
    • Ibu bapa yang tertekan.
  1. Lain-lain
    • Sistem saraf bayi yang belum matang menyebabkan ia lebih sensitif kepada faktor persekitaran.

Adakah ramai bayi yang mengalami masalah ini?
Dianggarkan 1 hingga 5 dalam 10 bayi mengalami kembung perut.

Apakah tanda-tanda bayi anda mengalami kembung perut?
Bayi akan selalunya :
  • Menangis sekuat hati dalam jangka masa yang lama.
  • Di ikuti menarik kedua belah kaki ditarik ke perut dan tangan dikepal.
  • Tidak selalunya berkait dengan perut buncit, muntah, demam atau tanda- tanda penyakit yang lain
Adakah kembung perut akan menyebabkan masalah serius yang lain?
  • Kebiasaannya bayi akan sihat dan boleh membesar dengan baik.
  • Bagaimanapun, masalah ini mungkin boleh menyebabkan tekanan perasaan dan kebimbangan di kalangan ahli keluarga.
  • Ibu bapa merasa kecewa dan risau melihat keadaan bayinya.
Bagaimanakah untuk mengelakkan masalah ini?
  • Tiada rawatan yang khusus. Keadaan ini akan pulih dengan sendiri apabila bayi berumur 3-4 bulan.
  • Jika anak anda kembung perut :
    1. Elakkan terlalu kerap mengangkat bayi ketika ia merengek.
    2. Selimutkan bayi sehingga selesa dan dodoikan dengan lemah lembut
    3. Kurangkan bunyi bising
    4. Bawa bayi anda bersiar-siar
    5. JANGAN SEKALI-KALI MENGGONCANG BAYI ANDA
    6. Jika ibu bapa merasa tertekan atau penat, cuba dapatkan bantuan orang lain untuk menjaga bayi dan ambil rehat yang secukupnya.

  • Dapatkan nasihat doktor jika :
    • Tangisan bayi anda seperti di dalam kesakitan.
    • Ada masalah lain seperti muntah, perut buncit, cirit-birit atau sembelit.
    • Bayi anda demam
    • Ibu bapa terlalu bimbang atau penat dan tidak boleh menangani masalah ini sendiri.

  • Apakah ubat yang boleh membantu?
    • Tiada ubat yang berkesan untuk meredakan kembung perut.
    • Anda boleh mencuba ubat untuk "angin" atau "colic" dan sejenis ubat bernama "dimethicone" untuk mengurangkan rasa kembung.
    Bagaimanakah untuk mengelakkan masalah ini?
    Jika bayi anda menghisap susu botol:
    • Amalkan teknik penyusuan yang betul, pastikan saiz puting yang sesuai dan sendawakan bayi anda di antara penyusuan.
    • Cuba tukar susu contohnya susu soya selepas merujuk kepada doktor anda.
    Jika bayi menyusu badan :
    • Teruskan penyusuan susu ibu, tetapi ibu perlu mengelakkan makanan tertentu seperti kobis, broccoli, bunga kobis, kafein dan makanan yang dibuat dari susu lembu.
    Peringatan:
    • Kembung perut (colic) adalah masalah yang mencabar tetapi ia tidak menimbulkan kesan bahaya kepada bayi pada masa akan datang. Diagnosa yang tepat adalah penting.
    • Dapatkan nasihat doktor jika:
      • Diagnosa tidak dapat dipastikan
      • Adanya tanda-tanda penyakit serius yang lain.

20 June 2011

PERKEMBANGAN BAYI PADA USIA 3 BULAN


Menegakkan kepala dengan stabil

Pada bulan ini, bayi anda mungkin sudah boleh mengangkatkan kepalanya semasa berbaring dan menegakkannya untuk beberapa minit. Jika diampu untuk duduk, dia mungkin boleh menegakkan kepalanya secara mantap dan lurus. Ketika dia meniarap, anda akan memerhatikan dia mengangkatkan kepala dan dada seakan-akan membuat tekan tubi ringan. Duduklah di hadapannya dan hayunkan mainan untuk menggalaknya.

Koordinasi lengan, kaki dan tangan lebih baik

Bayi anda sekarang boleh melambai-melambai tangan dan menendang kakinya. Sendi paha dan lututnya menjadi lebih lentur menyebabkan tendangannya menjadi lebih kuat. Dan jika anda mendirikannya dengan kaki terletak di lantai, dia akan menolak badannya turun dengan menggunakan kakinya. Dia boleh merapatkan kedua tangan dan membuka jari-jarinya, tapi dia akan menggunakan tangan yang digenggam rapi untuk memukul barang yang tergantung. (Harap maklum bahawa usaha memukul mainan atau sesuatu objek merupakan satu pencapaian yang penting!) Galakkan perkembangan kemahiran tangannya dengan menghulurkan mainan dan perhatikan sama ada dia mengambilnya.

Pola tidur lebih terkawal

Mulai dari sekarang, ibubapa yang dahulu-nya tidak dapat tidur dengan sempurna, mula merasa lega sedikit. Menjelang tiga atau empat bulan, pola tidur anak anda mula menjadi stabil. Kebanyakan bayi pada usia ini tidak lagi bangun malam untuk menyusu, walaupun sekali sekala mereka bangun juga dan mahukan makan. Ada juga kanak-kanak yang tidak tidur terus sepanjang malam untuk tempoh tiga atau enam bulan (bagi tahun pertama, ini bermakna mereka boleh tidur terus hanya selama enam jam setiap kali), jadi, usahlah bimbang jika anak anda masih menyebabkan anda berjaga di waktu malam.

Jelas mengenali emak dan ayah

Menjelang tiga bulan, dan kadangkala lebih awal, bayi anda sudah menjalin hubungan rapat dengan anda dan mengenali muka anda. Dia masih suka bersenyum dengan orang yang tidak dikenali, terutama sekali jika orang itu bertentang mata dengannya dan bersuara mesra atau bercakap dengannya. Namun begitu, dia sudah mula mengetahui siapakah orang-orang dalam hidupnya dan sudah boleh menentukan siapa yang lebih disukainya antara mereka.

Lobus parietal, bahagian otak yang mengawal koordinasi tangan-mata serta membolehkan seseorang itu mengenali objek, kini mula berkembang dengan pantas.

Dan lobus temporal, yang membolehkan pendengaran, bahasa dan bau-bauan, juga lebih responsif dan aktif. Oleh itu, apabila bayi mendengar suara anda, dia akan memandang terus kepada anda dan mula bersuara gembira atau cuba bercakap dengan anda.

Mulalah membaca kepada dia sekarang

Membaca kepada anak, tidak kira usia muda, akan mendatangkan hasil. Ia membantu anak anda menguasai kemahiran mendengar lagu naik turun bahasa – sebenarnya, adalah baik jika anda selalu mengubah nada suara anda, menggunakan loghat berlainan, menanyi, dan menyuarakan apa yang anda sedang lakukan ketika itu supaya hubungan suara dan bunyi antara anda dan bayi menjadi sesuatu yang menarik baginya. Jangan bimbang jika dia melihat ke arah lain atau hilang perhatian – dapatkan semula perhatiannya dengan mencuba sesuatu yang lain, atau berikan dia masa untuk berehat. Sesuaikan interaksi anda dengan respon dan minatnya.

Terdapat banyak buku-buku yang baik untuk dibacakan kepada bayi. Pilihlah buku yang mempunyai gambar-gambar yang besar dan berwarna-warni dengan perkataan-perkataan yang mudah -- atau buku tanpa teks yang mempunyai gambar untuk anda menceritakan.

Sebenarnya, buat masa ini anda tidak perlu berpegang ketat kepada panduan menyesuaikan buku dengan usia tertentu. Buku yang dikhaskan untuk kanak-kanak yang lebih tua jika mempunyai imej yang jelas dan kemas, dan warna-warna terang boleh memikat bayi. Selain itu, anda juga boleh membaca puisi yang disasarkan telinga orang dewasa. Bahan bacaan yang tidak difahami bayi masih boleh menyeronokkan dia jika nada dan aspek musiknya menarik (dan anda juga akan terhibur).

Perkembangan awal bahasa

Ini merupakan masa yang sensitif di mana rangsangan lisan adalah amat penting untuk bayi anda. Ambillah kesempatan ini untuk mendedahkan dia kepada pelbagai variasi perkataan dan bunyian. Penyelidikan terbaru mengaitkan tahap kepintaran yang tinggi kepada berapa banyak perkataan seorang kanak-kanak itu mendengar pada tahun pertama hidupnya. Inilah masanya unuk menubuhkan asas yang kukuh. Berjalan ke pasar malam pun memberi peluang untuk merangsang kanak-kanak anda – semasa berjalan, tunjukkan dia objek-objek dan berikan nama barang-barang itu. Bayi anda belum boleh mengulang perkataan-perkataan itu lagi, tetapi dia sedia menyimpan semua informasi ke dalam memorinya yang kian ini berkembang pantas.

Bayi dalam keluarga dwi-bahasa akan memperoleh latihan bahasa yang berganda jika dia sering mendengar kedua-dua bahasa dituturkan. Jika anda mahukan dia belajar kedua-dua bahasa, pastikan ibu dan bapa bercakap dengannya dalam bahasa yang berlainan.

Sentuhan menjadi lebih sensitif

Hidupkan deria sentuhan bayi dengan bahan seperti kain bulu, tisu, kain felt, dan kain tuala atau carilah buku yang boleh membantu membuatkan sentuhan sebagai sebahagian daripada pengalaman membaca bersama. Menyentuh, mendukung dan mengurut bayi, sama dengan mengangkatnya melalui dan merentasi udara sekeliling adalah cara-cara yang berkesan untuk menenangkan dia dan mungkin dapat meningkatkan kepekaannya dan memanjangkan tempoh konsentrasiya.

Mula berinteraksi dengan orang lain

Anak anda diprogram untuk “menerima”, serta membuat kesimpulan tentang dunia kelilingnya. Kini, dia mungkin dapat memberi respon kepada bayangnya sendiri dalam cermin dengan senyuman (bayi gemar melihat diri sendiri), dan dia mungkin berhenti menghisap jari atau botol untuk mendengar suara anda. Dengan bersuara mesra dan membuat bunyi-bunyian, dan dengan berceritakan tentang tugas rumah remeh yang sedang diuruskan, anda bukan saja menjalin hubungan dengannya, tetapi juga mengalakkannya melahirkan perasaan sendiri.

Adakah bayi saya berkembang secara normal?

Harus diingat bahawa setiap bayi adalah unik dan akan mencapai peringkat-peringkat pencapaian sosial mengikut masa dan jadual mereka tersendiri. Semua di atas hanya merupakan garis panduan am mengenai potensi yang boleh dicapai oleh bayi anda -- jika bukan sekarang, mungkin tidak lama lagi.

Dan sekiranya bayi anda dilahirkan pramatang, anda mungkin mendapati bahawa dia memerlukan masa yang lebih lama untuk melakukan sesuatu yang telah dapat dilakukan oleh bayi sama usia dengannya. Jangan bimbang. Kebanyakan doktor menilai perkembangan bayi pramatang berpandukan tarikh dia sepatutnya dilahirkan dan menilai tahap pencapaian kemahirannya dari tarikh itu.

Jika anda mempunyai sebarang pertanyaan berkenaan perkembangan bayi anda, sila bertanya dengan doktor anda.